Rabu, Oktober 30, 2024

Syeikh Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki ( 1959 - 2021 )

 Hari ini genap 3 tahun padamnya sebuah cahaya ilmu yang menyinari bumi Nusantara. Beliau adalah seorang ulama' yang sangat lembut tutur katanya dan bercakap dengan penuh hikmah. Allahuakbar. Pemergian beliau sesungguhnya tiada galang ganti.



Marilah kita membaca sedikit manaqib ringkas beliau :


Syeikh Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki ( 1959 - 2021 )


Syeikh Ahmad Fahmi Bin Zamzam an-Nadwi al-Maliki dan beliau dilahirkan di Amuntai pada tanggal 9 Jun 1959 dan berasal dari suku Banjar di Banjarmasin, Kalimantan Selatan (Borneo), Indonesia.


Syeikh mula menuntut ilmu di daerah Amuntai, kemudian melanjutkan pelajarannya ke Madrasah Darus Salam Martapura sampai ke tingkatan ‘Aliyah (tertinggi) dari tahun 1973 sehingga 1978. Seterusnya pada tahun 1979, beliau melanjutkan pelajaran di Yayasan Pesantren Islam, Bangil, Jawa Timur sebelum berangkat ke Uttar Pradesh, India pada tahun 1980 sehingga tahun 1987 dan berjaya mendapat sarjana (MA) dalam bidang Dakwah & Sastra Arab.


Pada tahun 1988 pula, beliau berangkat ke Mekah dan menuntut ilmu dari beberapa alim ulama' di sana.


Di antara gurunya ialah :


1. Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi - Wafat pada tahun 1999

2. Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani - Mendapat Ijazah Ammah dalam ilmu Hadis

3. Sayyid Muhammad Bin Alwi al-Maliki al-Hasani


Dari gurunya Sayyid Muhammad Bin Alwi, beliau dianugerahi gelaran "al-Maliki" pada tahun 2002 atas pemahamannya yang mendalam dalam persoalan-persoalan agama.


Pada pertengahan tahun 1984, beliau berhijrah ke Kedah sebelum pergi semula ke India pada 1987. Ketika di Kedah, beliau berkhidmat di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena, Kedah. Jumlah keseluruhan Syeikh mengajar di sana ialah hampir 20 tahun. Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam juga sering menyampaikan pengajaran di masjid masjid terutama di Kedah. Selain itu, beliau juga diminta oleh Radio RTM Kedah untuk mengisi ruang Kemusykilan Agama.


Pada tahun 2001, beliau telah mendirikan sebuah pondok pesantren di Muara Teweh, Kalimantan Tengah, Indonesia yang seterusnya diikuti dengan sebuah pondok pesantren di Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Indonesia pada tahun 2003 dan yang ketiga pada tahun 2009, beliau membangunkan lagi sebuah pondok pesantren di Balikpapan, Kalimantan Timur. Seterusnya, beliau juga ada mendirikan sebuah madrasah di Sabah.


Di samping itu, beliau juga pernah dilantik menjadi Ketua Umum Majelis Ulama’ Indonesia Kabupaten Barito Utara, Kalimantan Tengah untuk sesi 2004-2009.


Sehingga kini Syeikh Fahmi Zamzam telah menghasilkan lebih daripada 15 buah buku. Di antaranya ialah :


1. Empat Puluh Hadits Peristiwa Akhir Zaman

2. Empat Puluh Hadits Penawar Hati

3. Empat Puluh Hadits Kelebihan Ilmu dan Ulama

4. Empat Puluh Hadits Akhlak Mulia

5. Terjemahan Bidayatul Hidayah

6. Terjemahan Ayyuhal Walad ( Imam Ghazali )

7. Terjemahan Lamiyah Ibnu Wardi

8. Terjemahan Bustanul Arifin

9. Terjemahan Qasidah Burdah Imam al-Busiri

10. Kiamat Hampir Tiba

11. Riwayat Hidup Sayyid Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi

12. Riwayat Hidup Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani

13. Tahqiq Sairus Salikin

14. Tahqiq Hidayatus Salikin

15. Bekal Akhirat


Beliau telah meninggal dunia pada 30 Oktober 2021, jam 6.45 pagi dalam usia 62 tahun.


Moga Allah Taala mencucuri rahmat ke atas roh al-Marhum. Amin


*Sumber - https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10155554437521999&id=295419981998


#HaulUlamak

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Admin;
Copyright @Catatan Edwan Ansari